Response to Mingguan Malaysia

Response to Mingguan Malaysia
by Dr. Sheik Johari Bux bin Sheik Yaacob Bux

Ketua Pengarang
Utusan Malaysia

Tuan, Assalamu Alaikum

Tajuk utama Mingguan Malaysia 22 oktober 06, “Tangani ekstremis agama” yang di petik dari kata-kata menteri Kemajuan Luar Bandar, Datuk Abdul Aziz Shamsudin kepada pemberita di Miri adalah amat dikesali.

Ia nya seolah-olah menggambarkan bahawa ekstremisme agama adalah suatu gejala besar yang mengancam keharmonian kaum dan menggagalkan projek-projek kerajaan.

Ini bertentangan sekali dengan semangat dan langkah bijaksana Kementerian Dalam Negeri yang telah membebaskan tujuh tahanan ISA tempoh hari.

Memang kita akui bahawa ekstremisme agama adalah suatu gejala yang membahayakan dan harus ditangani dengan tegas dan bijak. Namun didalam konteks Malaysia yang diakui dunia sebagai negara Islam contoh, fenomena ini adalah terlalu kecil dan mudah ditangani oleh pihak yang berwajib.

Menggembar-gemburkannya sehingga menjadi tajuk utama akhbar hanya akan mengundang tohmahan, prasangka dan prejudis terhadap agama Islam. Sekali gus ia mengeruhkan lagi keharmonian masyarakat kita yang berbilang kaum dan agama.

Lebih malang jika ianya diutarakan semata-mata untuk saham politik tanpa adanya sebarang bukti yang kukuh. Adakah kita ingin dilihat sebagai jaguh dalam “war on terror”dan mendapat pujian dan sanjungan dari barat?

Sesunggunhnya, kegagalan projek-projek pembangunan adalah berpunca sebahagian besarnya dari gejala rasuah, ketidak-telusan, campurtangan politik dan kelemahan jentera pentadbiran. Kami mengalu-alukan keperihatinan dan penekanan terhadap hal-hal ini yang menjadi misi utama pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Kami berharap akhbar-akhbar Malaysia akan lebih bertanggung jawab dan bersikap lebih bijaksana dalam menyajikan berita dan maklumat kepada rakyat. Kami juga berharap agar anggota-anggota kabinet lebih berhemah dalam memperkatakan isu-isu agama.

Memberi gambaran bahawa ekstremisme agama adalah serius di negara kita akan menjejaskan hubungan antara kaum dan melembabkan aliran modal asing, sekali gus memberi kesan negatif terhadap pertumbuhan ekonomi kita.

Dr. Sheik Johari Bux bin Sheik Yaacob Bux
Ahli Lembaga Pengarah
Muslim Professionals Forum
Suite 1810, 18th Floor, Plaza Permata, Jalan Kampar,
Kuala Lumpur 50400
Tel : 03-40427139