Letter to the Press Regarding “SIS : Feminisme Islam warisan sunah Rasulullah”

Letter to the Press Regarding “SIS : Feminisme Islam warisan sunah Rasulullah”
by Dr. Musa Mohd. Nordin

Saudara Pengarang

Reaksi yang dicoretkan oleh Sisters in Islam bertema “SIS : Feminisme Islam warisan sunah Rasulullah”; didalam ruangan Forum bertarikh 23hb Julai 2003 memang telah dijangkakan dan konsisten dengan teras perjuangan mereka semenjak penubuhannya pada tahun 1988. Saya tetap menghormati kesungguhan dan ltizam mereka mengarus perdanakan isu-isu wanita dan menarik perhatian masyarakat kepada ketidakadilan dan penganiayaan yang berlaku dan berlanjutan keatas kaum Hawa.

Namun demikian, didalam keghairahan dan keasyikan SIS memperjuangkan agenda wanita, mereka tidak harus hilang pegangan dan pedoman kepada tradisi dan kesahihan ilmu dan fakta. Ini ternyata didalam suatu luahan Ketua Eksekutif nya yang mendakwa bahawa punca kebanyakan daripada wanita professional tidak mahu berkahwin ialah kerana sikap kaum lelaki masakini yang tidak bertanggung jawab dan menghambat si-isteri dengan bebanan kerja yang berlebihan dirumah disamping tugas kerjaya mereka.

Terbawa-bawa dengan emosi feminsime yang luarbiasa ini, SIS melemparkan suatu kecaman yang tidak bertanggung jawab dan tidak berasaskan ilmu dan fakta didalam nukilan mereka yang terakhir ini. Demi mendokong dan merasionalkan perjuangan  “feminisme islam”, mereka merumusakan secara membuta tuli bahawa penindasan wanita dan penafian hak-hak asasi mereka adalah berpunca “kerana kaum lelaki sahaja yang telah menguasai secara eksklusif hak mentafsir al-Quran dan bahan-bahan ilmuan Islam yang lain”.

Hujjah sedemikian rupa yang acapkali ditonjolkan oleh SIS tidak asing kepada mereka yang mengikuti secara halus sejarah dan evolusi pergerakan feminisme  didalam dunia Islam. Amina Wadud yang baru-baru ini telah mencetuskan kontroversi di-Konsultasi Pemimpin Islam SeDunia Kedua berkenaan AIDS/HIV, juga merupakan diantara pengasas SIS, adalah termasuk sebilangan kecil yang menganut fahaman “feminist revisionism” yang mencemuh mufassireen lelaki terdahulu, yang mereka dakwa bersikap “bias gender”; memihak kepada jenis mereka dan menganiaya hak wanita apabila mentafsser ayat-ayat suci al-Quran.

Wadud didalam penulisan nya “Warisan Aishah : perjuangan untuk hakhak wanita didalam Islam” mendakwa bahawa “Pada zaman Abbasiyah, semasa asas-asas Islam sedang dibina, kesemua ahli fikir dan ulama nya adalah lelaki. Mereka tidak menghayati wahi secara terus ( dakwaan ini agak pelik kerana hanya para anbiya yang menghayati wahi secara terus dan pilihan Allah eksklusif kepada pihak lelaki, dan jika mantik Wadud dilanjutkan apakah Allah tidak bersikap “gender neutral” ? ), tidak mengenali Rasulullah secara peribadi dan kadangkala terpengaruh dengan fahaman intelektual dan budaya moral semasa yang bertentangan dengan Islam”. Wadud dengan emosi feminisme yang meluap ini menekankan bahawa Allah mesti digelar dengan “He/She/It” ! Selaku anak murid dan rakan seperjuangan Wadud yang setia dan ta’sub kepada perjuangan “feminist revisionism”, SIS turut mengutarakan hujjah yang songsang ini, tidak amanah kepada fakta sejarah dan membelakangkan tradisi ilmu yang bersandarkan an-Nahjus Sahih..

Tidak dinafikan bahawa ulama, ahli falsafah  dan mufassireen “kebanyakannya” lelaki tetapi tidak eksklusif dan hanya lelaki sahaja. Terulung dikalangan pentafsir ayat-ayat suci al-Quran dikalangan kaum Hawa merupakan ummul mukminah Aishah, Ummu Salamah dan Hafsah dan lebih kontemporari ialah penulis Kitab Tafsir Al Bayan bil Quran nil Karim, Dr. Aishah Abdul Rahman yang lebih dikenali sebagai bint al-Syatie ( yang cerdik ). SIS seringkali kali bernaung dan merujuk kepada kitab tulisan Wadud “Quran and Women : Rereading the sacred text from a woman’s perspective” ( Quran menurut perempuan : Perempuan meluruskan bias gender dalam tradisi tafsir ) yang telah pun digazetkan haram oleh JAKIM pada tahun 2001 dan diharamkan penyebarannya oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Melemparkan fitnah sedemikian kejam terhadap mufassireen lelaki yang terdahulu adalah seakan menghina tradisi suci ulumul Quran yang diantara lainnya mensyaratkan bahawa setiap mufassireen, lelaki maupun wanita, mesti memiliki ciri-ciri seorang mujtahid. Sifat-sifat ini termasuk aqidah Islamiah yang sahihah, ahli didalam bahasa Arab, ahli didalam jurusan lain yang bersangkutan dengan ulumul Quran seperti ilmu al-riwayah, memulakan tafsir Quran dengan Quran sendiri, ahli dalam ulumul hadith, mengelak daripada mengutamakan pendapat fardhi, merujuk kepada sunnah sahabah, tabiin dan kepada ulama tafsir lain yang muktabar. Apakah SIS mendakwa mufassireen lelaki yang terdahulu cacat didalam kriteria yang diterima pakai ulama tafsir sejagat, tidak jujur dan amanah didalam usaha mereka menyelami dan menerokai ajaran-ajaran kitab suci al-Quran dan “hanya memperalatkan agama untuk membenarkan amalan dan nilai-nilai budaya yang menganggap kedudukan wanita lebih rendah daripada lelaki” ?

Kajian SIS yang merumuskan bahawa faktor lelaki didalam ilmu tafsir al-Quran menatijahkan tanggapan yang serong terhadap kedudukan wanita didalam Islam bukan hanya naive, simplistic dan feminisme ala barat tetapi juga mencernakan kedhaifan dan kedangkalan mereka didalam seni, sains dan tradisi ilmu-ilmu al-Quran, al-hadith dan syariah Islamiah. Wallahu alam.

Dr. Musa Mohd. Nordin