- 8 Mac 2020
KEMENANGAN PYRRHIC BAGI TSMY DAN MALAYSIA (Bahagian II)
Prof Dr Awaluddin Mohamed Shaharoun
Dato’ Dr Musa Mohd Nordin, Muslim Professionals Forum (MPF)
Bagaimana pula dengan pakej pembaharuan kerajaan PH terdahulu yang diperkenalkan untuk memperbaiki tadbir urus, ketelusan, pemisahan antara eksekutif, perundangan dan kehakiman, menangani rasuah, pembaharuan sosial dan sebagainya? Adakah ianya akan diteruskan? Kami ingin berfikir begitu dan tidak syak lagi, pada peringkat bulan bulan awal pemerintahannya, suara-suara bising akan timbul dari kalangan rejim baru untuk mengesahkan komitmen kerajaan baru untuk meneruskan dasar-dasar ini. Ironinya, semua pembaharuan ini diperkenalkan kerana pengalaman pahit rakyat dengan gelagat kerajaan BN terdahulu dan tindakan bobrok mereka untuk mengekalkan kuasa. Pembaharuan ini adalah untuk menghentikan penyalahgunaan ini daripada berulang dalam era Malaysia Baru. Walau bagaimanapun, kumpulan ahli politik yang melakukan pelanggaran dulu yang menyebabkan undang undang dan pembaharuan ini dilakukan sekarang ini telah kembali memegang tampuk kuasa.
Seperti permainan polis dan pencuri, pencuri kini telah bertukar menjadi polis. Adakah komitmen mereka untuk reformasi sekurang-kurangnya pada tahap yang sama seperti mereka yang terdahulunya bekerja tanpa mengenal penat lelah untuk menginstitusikannya? Ia tidak memerlukan pemikiran serius untuk menyelesaikan teka-teki ini. Memandangkan beberapa tokoh UMNO yang berpotensi memainkan peranan penting dalam kerajaan baru (perlu dibaca sebagai calon menteri cabinet di bawah TSMY) mereka sendiri menghadapi tuduhan korupsi dan penyalahgunaan kuasa, adakah masuk akal bagi mereka untuk melaksanakan dasar-dasar yang akan menyebabkan diri mereka sendiri meringkok di Sungai Buluh? Ibarat musang menjaga ayam?
Amat besar kemungkinan mereka akan dibebaskan dari segala tuduhan atau hanya menerima pukulan lembut dipergelangan tangan. Maka semua program reformasi PH yang terdahulu pasti akan terbatal. Usaha pembaharuan hanya akan diteruskan jika TSMY benarbenar komited, mempunyai daya tahan dan mendapat sokongan kuat akar umbi, tapi malangnya TSMY tidak punyai.
Dari sudut politik, apa lagi yang mungkin berlaku? Peristiwa-peristiwa minggu lalu hanya mengesahkan bahawa dalam politik Malaysia perkara dianggap mustahil tidak mustahil berlaku. Mesyuarat Parlimen yang akan datang yang dijadualkan pada bulan Mac (walaupun sumber sekarang mengatakan ia mungkin ditangguhkan) boleh menyebabkan undi tidak percaya yang mungkin menatijahkan tamatnya tempoh Perdana Menteri Malaysia yang paling singkat didalam sejarah.
Walau bagaimanapun, sejajar dengan DNA politik Malaysia, kita menjangkakan akan berlaku gegaran dan kejutan lanjut. Rundingan tawar-menawar dan jual beli sedang berlaku hatta sekarang ini dengan pemenangnya merupakan sesiapa yang dapat menawarkan ganjaran atau imbuhan yang terbesar. Akuan bersumpah (SD) nampaknya tidak bernilai langsung kerana mereka mengubah kem secepat mereka dapat menandatangani SD masing masing.
Seperti yang dikatakan oleh seorang baru-baru ini, ahli politik Malaysia mencari mandat dari pengundi setiap lima tahun dan berjanji untuk bertindak atas nama rakyat dan menunaikan amanah mereka. Sebaik sahaja mereka mendapat lesen itu, selamat tinggal rakyat, kami boleh melakukan apa sahaja yang kami suka, menyokong sesiapa sahaja yang kami suka dan pergi jahanam dengan janji-janji kami (sehingga pilihan raya akan datang apabila tiba-tiba mereka muncul semula dengan perwatakan yang soleh dan memohon mandat untuk lima tahun akan datang).
TSMY berada dalam keadaan yang agak rapuh (bahasa kasarnya, terdesak). BERSATU, parti nyamuk yang kini dipimpinnya telah retak dua. Enam Wakil Rakyat dikatakan tidak menandatangani SD yang telah dia persembahkan untuk meyakinkan YDPA untuk memilihnya. TDM, yang menjadi pengerusi parti itu dan yang meletakkan TSMY pada kedudukan kuasa tertinggi parti BERSATU dan juga dalam PH kini mengatakan dia telah dikhianati olehnya. Ada suara sanggahan dari akar umbi yang mengatakan bahawa Majlis Tertinggi tidak dibawa berunding dalam usaha membentuk kerajaan dengan UMNO dan PAS. Malah, status TDM yang telah meletak jawatan, dipujuk untuk kembali menjadi Pengerusi kini diisytiharkan oleh TSMY sebagai bukan Pengerusi, malah beliau TSMY kini adalah Presiden dan Pengerusi parti .
Sekelip mata, beliau kehilangan sokongan TDM, Mukhriz, Maszlee Malek (MM) dan Syed Saddiq (SS). Pengundi PRU 2018 sangat menghargai MM dan SS kerana sikap mereka yang berani dan berprinsip di dalam ketidak-tentuan politik sekarang ini. Walaupun pada masa yang terbaik, mengekalkan kelestarian parti BERSATU menjadi masalah, dengan bertubitubi kekalahan dalam pilihan raya kecil, apatah lagi dengan kehilangan tokoh-tokoh besar yang menjadi pemimpin kebangsaan dengan ketokohan masing-masing.
Bagaimana pula dengan 10 pendekar yang melompat kapal dari PKR ke BERSATU? Adakah mereka dapat menampung kehilangan tokoh yang kini di kem TDM? Jawapan jangka pendek adalah ya, bahkan dialu-alukan dalam suasana jumlah kerusi diparti BERSATU yang merosot itu. Walau bagaimanapun, kesetiaan puak puak ini akan tetap diragui. Pendatang baru tokoh kanan yang telah bekerja selama beberapa dekad dengan DSAI, yang mendapat kepercayaannya, kini telah menjadi penyangak, menikamnya dari belakang dan melompat kapal, tentunya tidak boleh dipercayai dalam jangka masa panjang. Malah ada di antara mereka orang yang mengidamkan jawatan tertinggi yang kini disandang oleh TSMY.
Menempatkan mereka di kalangan pengikut pengikut yang tidak puas hati kerana kehilangan perintis2 parti BERSATU dan tiba-tiba digantikan oleh kumpulan baru yang terus menikmati kerusi selesa di Kabinet Menteri bukan lah tugas yang boleh diambil ringan atau hanya dengn bersangka baik. Menyatupadukan partinya sendiri akan menjadi keutamaan bagi TSMY untuk kejayaan masa jangka panjangnya dan kegagalannya akan menyebabkan dia akan diperas ugut oleh parti-parti gabungannya yang baru dan yang lebih besar. Lagipun BERSATU sebagai pecahan dari UMNO mewarisi DNAnya, dan menerima kemasukkan orang lain adalah asing dengan budaya politik mereka. Oleh itu demi kepentingan kelangsungan jangka masa pendek, DSAA dan pasukan pengkhianatnya adalah dialu-alukan tetapi akan menimbulkan masalah jangka masa panjang. TSMY perlu bijaksana dan waspada, perlu sentiasa memandang kebelakang bagi mengelakkan nasib Anwar dan TDM terjadi keatas dirinya pula.
Dengan mengandaikan bahawa dia tidak dapat menyelamatkan perpaduan partinya sendiri, apakah pilihannya selain itu? Senario seterusnya akan menyaksikan dia meninggalkan BERSATU dan kembali semula kepangkuan UMNO, senario yang bukan mustahil memandangkan peristiwa yang telah berlaku minggu lalu. Tengku Razeleigh membawa kembali Parti Semangat 46 selepas meninggalkan UMNO berikutan pertembungan dengan TDM maka TSMY mendapat kawan yang se nasib. Melangkah kembali ke UMNO akan membawa cabaran besar baginya. Beliau dibesarkan dan dipelihara di UMNO sebelum ini dan sudah biasa dengan budayanya, tetapi tetap ada cabaran kerana beliau akan kembali ke UMNO yang besar dengan kumpulan pengikut yang lebih kecil berbanding semasa menjadi presiden di parti BERSATU yang kecil.
Sebagai seorang PM, walaupun berada di dalam sebuah parti yang kecil di himpit antara PAS dan UMNO, beliau menikmati kuasa dan leverage yang besar, tetapi tetap juga akan menghadapi cabaran besar kepada kualiti kepimpinannya. Sudah tentu kedua-dua pihak berminat untuk memperluas pengaruh mereka dalam agenda politik, sosial, agama dan ekonomi nasional. UMNO dan PAS tampil dari dua budaya politik yang agak bertentangan antara satu sama lain, maka perbezaan pendapat dan penekanan dijangka pasti berlaku. PAS dari bentuk asas dan ideologinya akan menuntut agenda Islam untuk membela kehadirannya, tanpa mengira bantahan kaum atau agama lain. Dan UMNO dengan agenda nasionalisme pragmatik dan ultra Melayu seolah olah tidak dapat menawarkan apa-apa agenda pembangunan negara selain daripada retorik anti-DAP untuk menguasai emosi dan psyche Melayu untuk menentang orang Cina dan pada masa yang sama mengerjakan tabung negara.
TSMY akan menghadapi suasana yang sukar bagaikan menunggang dua kuda liar dan mengawal nya serentak di sepanjang trek yang sama. Disamping itu, dia menghadapi dua ancaman besar kepada kesejahteraan dan kestabilan negara yakni CoronaVirus2019 dan CronyVirus2020 yang baru muncul.
Prof Dr Awaluddin Mohamed Shaharoun
Dato’ Dr Musa Mohd Nordin, Muslim Professionals Forum (MPF)