KEMENANGAN PYRRHIC BAGI TSMY DAN MALAYSIA (Bahagian I)

2 Mac 2020

KEMENANGAN PYRRHIC BAGI TSMY DAN MALAYSIA (Bahagian I) 

Prof Dr Awaluddin Mohamed Shaharoun 
Dato’ Dr Musa Mohd Nordin, Muslim Professionals Forum (MPF)

Kemelut baru-baru ini dalam sejarah politik negara kita telah reda, sekurang-kurangnya untuk seketika. Tetapi satu perkara yang pasti adalah bahawa ia belum berakhir. Satu pertempuran telah selesai tetapi perperangan baru sahaja bermula.

Apa yang bermula sebagai keengganan Tun Dr Mahathir (TDM) untuk menentukan secara jelas tarikh penyerahan kuasa kepada pengganti yang telah disepakati sebelum ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI), telah dijadikan modal oleh dua orang ahli parti mereka yang paling berperanan iaitu TSMY (Tan Sri Muhyiddin Yassin) dan DSAA (Datuk Seri Azmin Ali) bagi mencetuskan krisis perlembagaan untuk merampas kuasa. Selepas seminggu dalam keadaan yang tidak menentu, TDM dan DSAI mendapati diri mereka kehilangan kuasa disebabkan pengkhianatan rakan sepasukan masing-masing. Tetapi tumpuan bicara kami hari ini bukanlah tentang perkara tersebut. Ini lebih dari cuba melakarkan   ramalan dan kebarangkalian scenario yang bakal mewarnai dan mencorak landskap politik Malaysia dimasa depan terdekat hasil kemelut yang berlaku.

Marilah kita mulakan dengan TSMY, Perdana Menteri Malaysia Ke-8 yang baru dilantik. Bagaimana dengan dia? Pertama sekali, dia mewarisi sebuah negara yang cukup terjejas dalam krisis kewangan. Dengan bebanan hutang negara yang hampir mencecah 1 trillion ringgit, ruang bertindak beliau agak terhad. Tidak bisa diagihkan ole-ole untuk menawan hati dan sokongan orang ramai terutamanya golongan lebih daripada 50% rakyat yang telah mengundi keluar BN. Sebaliknya, dia sudah tentu mengundang kemarahan mereka kerana telah merebut kuasa melalui pintu belakang.

Wang, disamakan dengan candu, adalah pemanis standard untuk BN selama 60 tahun yang lalu    apabila BN mahu mengulakan rakyat bagi mendapatkan sokongan popular. Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini melalui slogan-slogan ketelusan  dan bertanggung-jawab kepada rakyat telah berjaya  membongkarkan kepincangan kewangan hasil kerja kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini. Sudah tentu mereka terpaksa mendedahkan bahawa tabung negara hampir kering dan langkah langkah ekonomi yang ketat terpaksa diambil untuk meletakkan negara ini kembali ke landasan yang sepatutnya. Pendedahan ini tidak diterima dengan baik oleh kalangan rakyat yang telah biasa mendapatkan  bantuang tunai untuk mengurangkan masalah kewangan mereka.

Lebih malang lagi apabila Menteri Kewangan yang dipilih oleh kerajaan PH adalah dari Parti Tindakan Demokratik (DAP). Walaupun YB Lim Guan Eng dan pasukannya di Kementerian Kewangan (MOF) bertindak cemerlang, memandangkan suasana keadaan ekonomi negara dan dunia, momokan kejam terhadap DAP oleh cybertroopoers BN di media sosial amat keterlaluan sehingga beliau telah dilabelkan sebagai dalang kepada kesengsaraan kewangan semasa Malaysia dan bukannya penyelamat.  Tidak perlu dinyatakan bahawa telah tertanam dengan sangat mendalam dalam jiwa Melayu bahawa DAP adalah anti-Melayu, maka sudah tentunya anti-Islam dan kerana itu tugas cybertroopers bagi menyalahkan dia kerana kegagalan ekonomi negara kita menjadi sangat mudah.

Jadi, bolehkah TSMY merancakkan ekonomi dan menawarkan wang tunai kepada pengundi seperti yang lazim dilakukan oleh kerajaan BN dahulu? Jawapan mudah – tidak. Dia pastinya tidak boleh mencadangkan penyelesaian yang lebih baik daripada apa yang sekarang diamalkan oleh kerajaan PH yang mana dia pernah menjadi ahli. Untuk menyelamatkan negara, langkah-langkah fiskal yang sukar tidak dapat dielakkan kerana ia amalan wajar dalam pemerintahan politik yang bertanggungjawab bagi menghadapi krisis ekonomi global dan pandemik coronavirus19 yang menjulang. Tentunya semua mata akan tertumpu kepada MOF untuk mengesan sebarang percubaan untuk lakukan rent-seeking, capital cronisym dan semua amalan rasuah yang lain yang telah mengeringkan tabung kewangan negara.

Oleh itu, kita boleh menjangkakan bahawa lebih banyak dasar PH  yang sama akan diteruskan sekiranya TSMY serius dan mengambil berat tentang keadaan kewangan negara. Rakan sekatil, UMNO, dalam kegembiraan mereka untuk memerintah semula selepas ditendang keluar pada 2018, pastinya akan bersemangat untuk memenuhi janji janji pilihan raya mereka, disamping memperkayakan diri mereka sendiri, tabiaat lama amat sukar dibuang.   PAS pula telah menyatakan dalam manifesto pilihan raya 2018 mereka, hasrat untuk menghapuskan bayaran balik PTPTN yang mencecah jumlah RM8 bilion. Mereka agak lantang bersuara tentang kegagalan kerajaan PH memenuhi janji janji pilihan raya dan terus menerus mengejek.  Orang yang tinggal di rumah kaca tidak seharusnya membaling batu. Bagaimanakah kerajaan campuran baru ini berharap untuk memenuhi janji-janji salah satu anggota utama parti gabungan mereka tanpa jatuh air muka dihadapan rakyat umum? Kerajaan PH yang digulingkan telah mendapat pengajaran perit bahawa  tidak mungkin untuk memenuhi janji-janji yang tinggi melangit dalam manifesto mereka tanpa memufliskan negara.

Satu penyelesaian yang mungkin boleh diambil adalah pengenalan semula GST. Jangkaan kami ianya akan datang lebih awal dari yang dijangka. Pasukan manifesto PH telah dinasihatkan oleh beberapa pakar ekonomi negara kita untuk tidak menghapuskan GST tetapi sebaliknya mensifarkan kadarnya. Ini akan meninggalkan peluang untuk memanfaatkannya pada masa akan datang, kerana negara telah mewarisi infrastruktur kutipan GST yang agak cekap. Walau bagaimana pun pujian yang sama tidak boleh diberi kepada system agihan/bayaran GST yang menyebabkan kerajaan PH terpaksa menanggung jumlah yang mencecah RM19.25 bilion. Jawatankuasa Akaun Awam (PAC)  telah mengesahkan bahawa tiadanya pembayaran dana GST oleh kerajaan BN terdahulu telah menyebabkan kesulitan kewangan yang teruk kepada pembayar cukai kerana dana itu sebaliknya telah digunakan untuk membiayai perbelanjaan operasi dan pembangunan.

Wabak koronavirus19 yang seperti pandemik sekarang, kesan global kelembapan ekonomi, terutamanya China dan geo-politik dunia yang tidak stabil menjadi ramuan beracun kepada kerajaan baru. Kembalinya semula GST, mungkin lebih rendah daripada 6% seperti sebelumnya kami jangka akan diterima oleh rakyat Malaysia (baca sebagai Melayu), boleh memberi ruang bernafas untuk kerajaan yang ditunjangi oleh orang Melayu. Ya, telah terbukti berulang kali bahawa orang Melayu adalah golongan sangat pemaaf dan pelupa tentang perkara yang berkaitan kekayaan luar biasa pemimpin Melayu mereka. Beg-beg tangan Birkin milik mantan Wanita Pertama yang dihimpun melalui salah guna wang hasil keringat rakyat hampir tidak mendapat sebarang perhatian hari ini. Walaupun perincian skandal 1MDB telah sedikit demi sedikit dikemukakan melalui pengadilan di mahkamah dan pendedahan tentang peranan yang dimainkan oleh suaminya, beliau malah diraikan dan diberi gelaran kehormatan “bossku”.

 DAP terus dimomok-momokkan dan dikecam manakala kumpulan penjahat dianggap wira hanya sa nya  kerana mereka bangsa Melayu. DAP disifatkan sebagai anti-Melayu dan anti-Islam tetapi tindakan menyokong pemimpin-pemimpin Melayu yang memufliskan negara dianggap wajar kerana mereka adalah saudara Muslim Melayu. Sikap ini mencerminkan fahaman perkauman sempit (Assobiyah) yang ditegah oleh Nabi(SAW), tetapi orang Melayu tidak melihat atau menganggapnya seperti itu. Ini berlaku walaupun terdapat peringatan yang jelas dari Al-Quran yang menyatakan: ” Wahai orang-orang yang beriman, jadilah kamu orang yang benar-benar penegak keadilan, menjadi saksi karena Allah biarpun terhadap dirimu sendiri atau ibu bapa dan kaum kerabatmu. Jika ia kaya ataupun miskin, maka Allah lebih tahu kemaslahatannya. Maka janganlah kamu mengikuti hawa nafsu karena ingin menyimpang dari kebenaran. Dan jika kamu memutar balikkan (kata-kata) atau enggan menjadi saksi, maka sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui segala apa yang kamu kerjakan.. (Surah An-Nisa 4: 135).

Maka dari sudut pandangan ekonomi, TSMY malangnya tidak mempunyai tongkat sakti untuk mengatasi masalah ekonomi negara. Dengan keadaan ekonomi dalam lingkaran memendap secara perlahan dan tidak ada lagi DAP sebagai kambing hitam yang mudah untuk dilonggokkan semua kejahatan dan kelemahan. Beliau memerlukan satu naratif baru untuk menjelaskan kedudukan ekonomi kita yang sedang sakit.