Giro D’Italia (Kenyataan Akhbar BDS Malaysia)

*Kenyataan Akhbar Boycott Divestment & Sanctions (BDS) Malaysia*

7 Mac 20181.      Satu perlumbaan basikal termasyur Giro D’Italia dibawah naungan pertubuhan berbasikal antarabangsa Union Cycliste Internasionale (UCI) akan bermula di Jerusalem pada 4 Mei 2018.

2. Kerajaan Israel telah membayar sejumlah wang yang lumayan kepada pengelola perlumbaan ini untuk memastikan ia bermula dari Jerusalem.  Ini merupakan propaganda Israel untuk meyakinkan  dunia bahawa Jerusalem adalah ibukota Israel.
3.      Tindakan ini bertentangan dengan undang-undang antarabangsa termasuk resolusi 21 Disember 2017 Perhimpunan Agung PBB ES-10/L.22 yang mengecam  pengumuman Presiden Donald Trump yang mengiktiraf Jerusalem sebagai ibu negara Israel. Malaysia termasuk negara yang membantah keras pengumuman Trump ini.
4. Peringkat pertama melalui Wilayah Jerusalem mengiktiraf penguasaan haram Israel ke atas kota itu. Sementara laluan  ketiga di Wilayah Negev, Selatan Israel mengaburi mata dunia terhadap penindasan Israel ke atas komuniti Arab Badwi di kawasan tersebut sejak 1948.
5.      Selain dari kerajaan dan Majlis Perbandaran Israel, Giro d’Italia juga menerima tajaan daripada syarikat-syarikat Israel yang turut melanggar undang-undang antarabangsa kerana beroperasi di wilayah Palestin yang dijajah.
6.     Israel menyalah guna Giro d’Italia sebagai acara global meraikan ulangtahun ke-70 penubuhan Israel. Walhal Mei 1948 merupakan malapetaka (an-Nakbah)  sejarah dunia apabila 700,000 rakyat Arab Palestin diusir dan 450 kampung mereka dibakar demi mengujudkan negara Israel.
7.     BDS Malaysia amat kecewa dengan tindakan wakil Malaysia dan Asia ke UCI, Dato’ Amarjit Singh Gill yang enggan memaklumkan UCI bahawa tindakan mereka adalah bertentangan dengan undang-undang antarabangsa dan tidak menggesa UCI untuk menukar keputusannya.
8.     BDS Malaysia mengesa Dato’ Amarjit Singh Gill mengkaji semula pendirian beliau demi untuk memelihara keadilan, kebebasan dan kesaksamaan di Palestin.
8.      BDS Malaysia menyeru kerajaan Malaysia yang peka dengan penderitaan rakyat Palestin supaya mengarah Dato Amarjit Singh Gill untuk bertindak sejajar dengan hasrat negara yang  berjuang untuk pembebasan Palestin dari cengkaman Israel.Prof Mohd Nazari Ismail
Pengerusi
BDS Malaysia